Text Size

PANDUAN PERMOHONAN PENGESAHAN ARAH KIBLAT

Penentuan dan pengesahan arah kiblat Masjid, Surau dan tanah Perkuburan. Pemohon hendaklah menyediakan dokumen dan perkara seperti berikut:

i.   Surat kebenaran untuk membina / membina semula masjid/surau dan membuka tanah perkuburan baru daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

ii.  Surat permohonan penentuan dan pengesahan arah kiblat.

iii. Surat Pengesahan status tanah daripada pihak berwajib.

iv. Salinan pelan tanah yang telah diukur dan disahkan oleh juruukur bertauliah.

v.  Melantik Juru Ukur bertauliah.

Semakan semula arah kiblat bagi Masjid, Surau dan tanah Perkuburan. Pemohon hendaklah mengemukakan surat permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah terlebih dahulu.

Permohonan untuk menentukan arah kiblat bagi premis seperti surau dalam bangunan, hotel/resort dan rumah persendirian. Pemohon hendaklah menyediakan pelekat tanda kiblat.

Sila klik untuk memuat turun (download): Senarai Arah Kiblat Seluruh Daerah

ISTIWA' MATAHARI  ( اِسْتِوَاء الأعْظَمْ )

Istiwa’ Matahari atau istiwa’ a’dhzom (اِسْتِوَاء الأعْظَمْ) di Ka’bah merupakan fenomena di mana matahari akan berada di titik zenith ( غاية ) ketika istiwa’. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun apabila nilai sudut istiwa’ matahari ( ميل شمس ) akan bersamaan dengan nilai latitude Mekah di mana Ka’bah terletak.

Fenomena atau keadaan ini membolehkan umat Islam untuk menyemak arah kiblat di rumah kediaman dan juga tempat ibadat masing-masing dengan tepat dan betul. Peristiwa ini hanya berlaku dua kali setiap tahun pada tarikh seperti berikut;
a. 28 Mei (Masa: 5:16 petang)
b. 16 Julai (Masa: 5:28 petang)

 

PANDUAN MEMBUAT SEMAKAN ARAH KIBLAT

1. Pacakkan satu tiang di kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya,
2. Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus,
3. Tempat yang dipilih untuk menyemak arah kiblat hendaklah tempat yang tidak terlindung dari sinaran matahari,
4. Tepat pada masa yang telah ditetapkan, bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak berkenaan adalah bertentangan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah bayang yang menghadap ke arah barat,
5. Selain dari tiang yang dipacakkan, kita juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang diyakini tegak dan lurus untuk menyemak arah kiblat,
6. Umat Islam adalah disarankan agar memastikan jam yang digunapakai adalah tepat bagi kesempurnaan semakan.

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

Setiap orang Islam digalakkan untuk melakukan semakan ketepatan arah kiblat di tempat kediaman dan tempat ibadat masing-masing bagi mengesahkan arah kiblat.

Jika sekiranya terdapat kesilapan arah kiblat setelah semakan dibuat, sila hubungi Jabatan Agama yang berhampiran dengan anda untuk nasihat dan tindakan yang bersesuaian.