Text Size

Umum

Marhaban Bersahutan

MAJLIS MARHABAN BERSAHUTAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Soalan :

Majlis Marhaban yang sering diadakan sebagai keraian majlis perkahwinan dibuat bersahut-sahutan antara kumpulan lelaki dan perempuan, apakah hukumnya dalam Islam? Sejak akhir-akhir ini ianya sudah menjadi adat setiap kali majlis perkahwinan terutama majlis berinai/berbedak.

Jawapan :
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
1. Mengenai bacaan Marhaban, Berzanji, Burdah mahupun Maulid Dibaie dan sebagainya dalam sesuatu majlis seperti majlis perkahwinan, Tahnik dan Aqiqah, kenduri kendara pada dasarnya tidak menyalahi syara’ bahkan membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan doa adalah anjuran yang pernah disarankan oleh baginda SAW sebagaimana dalam sebuah hadith Hasan yang diriwayatkan oleh Abi Daud dan Tarmidzi baginya lafaz yang menyerupai, adapun Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi meriwayatkan lafaz yang sama ;
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : "مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوْا اللهَ فِيْهِ وَلَمْ يُصَلُّوْا
عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةٌ, فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَلَهُمْ."
Maksudnya : Daripada Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW baginda telah bersabda : “Tiadalah satu himpunan kaum dalam suatu majlis yang mereka tidak mengingati Allah di dalam majlis tersebut dan juga tidak berselawat ke atas Nabi mereka melainkan adalah ke atas mereka kekurangan, sehinggalah jika Allah menghendaki mereka akan diazab dan jika Allah juga menghendaki mereka akan diampunkan.”

Maka jika dilihat pada dasar dan umumnya bacaan selawat sebagaimana juga dalam bacaan Marhaban adalah disunatkan membacanya namun di sana terdapat adab dan panduan serta hukum yang perlu juga diambil kira agar sesuatu majlis tidak dicacatkan dan dicemari oleh perkara-perkara yang dilarang oleh syara’ walaupun ia majlis zikir dan selawat kepada Nabi SAW dan bertujuan baik dengan alasan sebagai ganti hiburan yang bukan Islamik.

Sesetengah para ulama pula ada meletakkan garis panduan bagi membezakan halal haramnya sesuatu perkara sebagaimana garis panduan dan syarat bagi hiburan yang dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi secara ringkasnya dalam kitabnya Islam wal Fan (Islam dan Kesenian), halaman 66 ;

1. Tajuk dan lirik nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah mengikut dengan kehendak adab-adab Islam dan panduannya.
2. Bentuk penyampaian dan cara nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam, maka segala bentuk yang mengghairahkan nafsu syahwat dengan nyanyian suara-suara tertentu seperti suara yang mengghairahkan dan adanya unsur lucah sebagaimana juga pemakaian yang mendedahkan aurat serta gerakan badan yang memberahikan adalah haram sekalipun lagu yang dinyanyikan adalah lagu-lagu yang baik.
3. Suasana majlis persembahan nyanyian hendaklah bertepatan dengan Islam. Kewujudan minuman keras dan seumpamanya serta percampuran bebas di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had sehinggalah majlis tari menari yang menyebabkan satu-satu agenda yang baik dari segi matlamat asalnya berubah kepada bentuk maksiat kepada Allah adalah bentuk yang diharamkan dalam Islam.
4. Nyanyian yang ingin dipersembahkan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak dan kewajiban yang lain tidak terabai seperti ibadah solat, hak mencari nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.
5. Setiap pendengar dan penonton adalah mufti kepada dirinya sendiri. Apabila satu-satu nyanyian adalah harus berdasarkan 4 syarat yang telah disebutkan di atas tetapi nyanyian itu boleh menyebabkan pendengar tersebut secara individu terangsang nafsunya lantas mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak selayaknya difikirkan, maka ketika itu hendaklah ia menutup pintu-pintu yang meniupkan angin fitnah dan negatif pada dirinya sendiri.

Berkaitan persoalan Marhaban yang dibuat bersahut-sahutan sekiranya bentuk perlaksanaannya tidak menepati garis panduan hiburan di dalam Islam seperti percampuran lelaki dan perempuan tidak dijaga atau perkara yang boleh mengghairahkan dan memberahikan nafsu berlaku maka majlis tersebut adalah haram di sisi syarak dan berdosa sekiranya pihak penganjur dan yang terlibat tidak bertindak menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran apabila sudah jelas hukum mengenainya.

RUMUSAN:

1. Membaca Marhaban dan seumpamanya di dalam sesuatu majlis adalah sesuatu yang baik pada pandangan syarak selagi tidak dicampuri dan dicacatkan oleh perkara-perkara yang dilarang dalam agama.
2. Secara ringkas garis panduan dalam hal ini ialah :
2.1. Tujuan penganjuran sesuatu majlis hendaklah untuk kebaikan dan tidak melalaikan.
2.2. Berpakaian sopan dan menutup aurat serta tidak memandang kepada yang diharamkan apabila majlis diadakan.
2.3. Tidak berlaku ikhtilat iaitu bercampur aduk lelaki perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan.
2.4. Senikata/lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak.
2.5. Tempat dan gaya serta cara persembahan yang tidak mengundang maksiat dan kerosakan akhlak.
3. Bagi wanita yang membaca Marhaban hendaklah mereka membaca secara jamaie iaitu berkumpulan serta menjaga adab dan akhlak sewaktu berada dalam majlis.
4. Amalan agama seperti bacaan doa, berselawat, zikir dan sebagainya bukanlah sesuatu yang membolehkan atau menghalalkan sesuatu amalan yang bertentangan dengan syariah apabila digabungkan.
5. Sesuatu yang dijadikan adat ataupun adat itu sendiri hendaklah patuh dan tidak berlawanan dengan hukum hakam agama.

والله تعالى أعلم

Pengkid

HUKUM WANITA MENYERUPAI LELAKI ( PENGKID )

الحمد لله رب العالمين ، ونصلى ونسلم على سيد المرسلين ، وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد :

1. LATAR BELAKANG DAN KETERANGAN

1.1 Pengkid merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan jeans dan t-shirt. Daripada sifatnya pula, nyata terserlah sifat kelelakiannya pada golongan ini dengan imej macho sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang lelaki sejati.

1.2 Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.

2. ULASAN

2.1 Islam melarang seorang lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Hal ini berasaskan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ;

“Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita dari kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita”.

2.2 Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin di dalam bukunya Fatawa wa Rasail Lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abi Daud yang bermaksud ; “

Daripada Abi Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu dia telah berkata ;”Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki.”

2.3 Bagi golongan pengkid ini, kelazimannya mereka tampil dengan rambut pendek sama seperti gaya rambut lelaki bahkan ada yang terlalu pendek sehingga menampakkan kulit kepala. Justeru, berhubung isu sama ada wanita dibenarkan memotong pendek rambut mereka sehingga menyerupai lelaki, majoriti ulama berpandangan bahawa amalan tersebut adalah dilarang dan tidak dibolehkan.

2.4 Dr. Ahmad al-Syarbasi menjelaskan bahawa dihukumkan sebagai haram bagi wanita yang mencukur rambutnya dengan tujuan menyerupai kaum lelaki.

2. KEPUTUSAN

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, bil 1/2008 telah bersidang pada 13 dan 14 Mei 2009 Miladiah / 18-19 Jamadilawal 1430 Hijriah, bertempat Bilik Persidangan, Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah dan bersetuju memutuskan;

i. Bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi Islam.
ii. Muzakarah juga menggesa ibubapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawan dengan fitrah dan sunnatullah.