Text Size

Aqidah

Sambutan Hari Valentine

HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN “VALENTINE’S DAY”

الحمد لله رب العالمين ، ونصلى ونسلم على سيد المرسلين ، وعلى آله وأصحابه أجمعين

LATAR BELAKANG ISTILAH VALENTINE

Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya. [ laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name]

Menurut sejarah perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masehi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine :

i. Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol Berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

2. Bukti-bukti Hari Valentine masih merupakan upacara ritual keagamaan umat Kristian iaitu:

i. Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik Definition of Religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci Keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St. Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a scheduler celebration of love”. Bermaksud: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.

ii. Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan tersebut: At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud: Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.

iii. Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.

iv. Nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama:

St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania.
St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois.
St. Valentine Church di Bethel Park, Pensylvania.
St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich.
St. Valentine Church di Buffalo, New York.
Berdasarkan fakta di atas dapatlah dirumuskan bahawa Istilah Hari Kekasih atau Valentine’s Day tidak ada di dalam Syariat Islam. Hakikatnya perayaan ini dipenuhi dengan unsur-unsur ritual agama kristian. Apabila perayaan itu berunsurkan keagamaan, maka meraikan perayaan ini bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka.
Senario sambutan ini juga merupakan faktor yang menyumbang kepada pergaulan bebas bahkan yang amat membimbangkan apabila pasangan sanggup mengadaikan kehormatan diri bagi menunjukkan kecintaan dan kesetiaan. والعياذ بالله

Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islan tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Umat Islam tidak boleh mencampur adukan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.

HUJJAH DAN DALIL

A. Al-Quran :

1. Surah Ali-Imran: 32

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Bermaksud : “katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang kafir”.

2. Al-Maidah : 51

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِين

َ
Bermaksud ;” wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim " .

3. Surah al-Kafirun:1-6

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ * لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ * وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ * وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ * وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ * لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ *

Bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad); Hai orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku”.

B. HADIS

1. Riwayat Sahih Muslim

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

Bermaksud : “Daripada Abi Sa’id al-Khudri Rasulullah SAW bersabda kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang maksudkan ? Nabi S.A.W menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka”

2. al-Bukhari dan Muslim

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Bermaksud : “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak”.

3. Riwayat Abi Daud, Tirmizi dan selainnya

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Bermaksud :” Daripada Ibnu Umar telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda :” Barangsiapa yang menyerupai dengan suatu kaum maka ia termasuk di kalangan mereka”

KEPUTUSAN MAJLIS FATWA NEGERI SABAH, BIL 1/2006

Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah yang telah bersidang pada 15 -17 Muharram 1427H/14-16 Februari 2006M, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Mufti Negeri sabah, Tingkat 6, Blok B, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah memutuskan bahawa:

"Amalan merayakan “Valetine’s Day” adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam."

Demikianlah, semoga ianya memberikan manfaat bersama

إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله

Maksudnya :
“ Aku tidak mempunyai tujuan lain melainkan melakukan islah ( kebaikan ) sedaya upayaku dan aku tidak mengharapkan kejayaanku melainkan dengan taufiq dari Allah S.W.T”

والله تعالى أعلم