KEPUTUSAN MUZAKARAH MAJLIS FATWA NEGERI SABAH
MENGENAI BACAAN DOA DI MAJLIS-MAJLIS RASMI
Bacaan Doa di Majlis-Majlis Rasmi ini telah dibentangkan di Majlis Fatwa Negeri Sabah bil 1/2005 yang bersidang pada 12 – 14 September 2005, di Hotel Pan Pacific Sutera, Kota Kinabalu, Sabah /8-10 Sya’ban 1426 H, bertempat di Hotel Pan Pacific Sutera, Kota Kinabalu, Sabah dan Ahli Muzakarah bersetuju untuk memutuskan bahawa:
1. Doa yang dibacakan di dalam Majlis adalah harus.
2. Majlis hendaklah tidak berunsurkan maksiat dan mungkar seperti mengadakan hidangan arak atau perjudian dan seumpama dengannya.
3. Majlis hendaklah tidak bercampur aduk dengan upacara-upacara yang tidak sesuai dengan konsep Ibadah dalam doa seperti menghiasi majlis dengan acara-acara nyanyian dan tarian serta pergaulan bebas lelaki dan wanita kecuali nyanyian yang berunsur dakwah dengan penyanyi yang tidak mendedahkan aurat.
4. Majlis doa hendaklah tidak dikaitkan dengan upacara-upacara keagamaan atau perayaan agama-agama lain seperti sempena menyambut hari Krismas atau tahun Baru Cina.
Demikianlah penjelasan keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah mengenai perkara di atas, semoga ada manfaatnya kepada umat Islam di Negeri ini.
إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله
Maksudnya :
“ Aku tidak mempunyai tujuan lain melainkan melakukan islah (kebaikan) sedaya upayaku dan aku tidak mengharapkan kejayaanku
melainkan dengan taufiq dari Allah S.W.T”
Mufti Kerajaan Negeri Sabah merangkap
Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah
قال الله تعالى :
وعنده مفاتح الغيب لا يعلمها إلا هو
Maksudnya:
“ dan di sisi dia ( Allah ) kunci-kunci ( khazanah ) mengenai perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan dia ”
Alhamdulillah, sukacita dijelaskan mengenai perkara di atas ;
1. Perkara ghaib merupakan salah satu daripada khazanah yang hanya dimiliki oleh Allah SWT. Perkara-perkara ini tidak diketahui oleh manusia melainkan dengan perkhabaran daripadanya melalui wahyu yang diturunkan ke atas rasulNya. Kejadian hari kiamat, waktu dan tempat persemadian ketika meninggal dunia dan seumpamanya yang melibatkan perkara-perkara ghaib adalah tidak mampu diketahui oleh akal-akal manusia yang bersifat terbatas.
2. Sehubungan itu, Allah SWT mengklasifikasikan orang-orang yang beriman dengan perkara-perkara ghaib ini sebagai golongan muttaqin iaitu orang-orang yang bertaqwa sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-3 iaitu ;
Maksudnya:
"Demikianlah kitab ini ( Al-Quran ) yang tidak ada keraguan padanya dan ia (Al-Quran) memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang dan bersedeqah sebahagian daripada harta mereka".
3. Salah satu perkara yang termasuk di dalam perkara-perkara ghaib adalah mengenai kebaikan dan keburukan pada masa akan datang. Seseorang yang mendakwa dirinya mengetahui mengenai kebaikan dan keburukan yang akan berlaku pada besok hari atau pada masa akan datang seperti para ahli hujum, penilik nasib dan mereka yang membenarkan serta mempercayai apa yang mereka lakukan dan katakan, maka hal sedemikian adalah bertentangan dan bersalahan serta terpesong daripada ajaran Islam.
HUJJAH DAN DALIL
a) Firman Allah di dalam surah al-A’raf , ayat 188 ;
قل لا أملك لنفسي نفعا ولا ضرا إلا ما شاء الله ولو كنت أعلم الغيب لاستكثرت من الخير وما مسنى السوء
Maksudnya:
"Katakanlah ( wahai Muhammad ) ; “ aku tidak berkuasa menarik kemanfa’atan bagi diriku dan tidak pula menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah, dan sekiranya aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak meinmpa kemudharatan".
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak mengetahui tentang baik dan buruk, manfaat dan mudharat yang menimpa umatnya pada masa akan datang melainkan sesuatu yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t melalui wahyunya.
قل لن يصيبنا إلا ما كتبالله لنا
Maksudnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad): “sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kami”
Ayat ini menerangkan bahawa setiap apa yang berlaku adalah merupakan ketentuan Allah s.w.t samada manfaat mahupun mudharat. Manusia tidak sekali-kali mengetahui apa yang terjadi kepadanya pada masa akan datang. Perkara ini berkait rapat dengan kepercayaan kepada Qadha dan Qadar yang mana ianya termasuk salah satu daripada rukun iman.
Allah menjelaskan di dalam beberapa ayat mengenai ilmu yang kamil iaitu di antaranya ;
ولا يحيطون بشيء من علمه إلا بما شاء
Maksudnya:
"Dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki"
علم الغيب فلا يظهر على غيبه أحدا
Maksudnya:
"(Allah) yang mengetahui perkara ghaib, maka dia (Allah) tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang perkara ghaib".
من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل الله
على محمد صلى الله عليه وسلم
Maksudnya:
"Sesiapa yang mendatangi ahli bomoh dan penilik nasib serta membenarkan apa yang telah mereka katakana, maka sesungguhnya ia telah mengkufuri setiap apa yang telah diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w"
Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang mengelarkan diri mereka sebagai penilik nasib, ahli nujum atau seumpamanya adalah merupakan sesuatu perkara yang dusta dan tidak boleh dipercayai kerana mereka ini telah menceroboh khazanah-khazanah ghaib yang hanya dimiliki oleh Allah SWT.
واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك
Maksudnya:
"Dan ketahuilah, sesungguhnya jika segolongan manusia berkumpul dengan tujuan untuk mendatangkan manfaat kepada engkau dengan sesuatu, maka ia tidak akan memberikan manfaat melainkan dengan sesuatu yang dituliskan (ditakdirkan) oleh Allah bagi engkau dan jika mereka berkumpul untuk memberikan kemudharatan ke atas engkau, maka tidak akan memberikan sebarang mudharat melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis (ditakdirkan) oleh Allah ke atas engkau".
Menurut as-Syeikh Nadzim Muhammad Sultan, di dalam kitabnya “Qawaid wa Fawaid Min al-Arba’in an-Nawawiah”, halaman 175, di dalam menerangkan hadis ini bahawa ;
والعبد لا يصيبه من خير ونفع إلا ما قدر عليه ، فمن قدر الله له نفعا لو اجتمع أهل السماء والأرض على منع النفع عنه لا يستطيعوا إلى ذلك سبيلا
Maksudnya:
"Dan seseorang hamba tersebut tidak menimpa ke atasnya sebarang kebaikan dan manfaat melainkan sekiranya ia telah ditakdirkan dengan yang sedemikian itu, maka sesiapa yang telah Allah takdirkan baginya menerima manfaat (maka dia akan menerima manfaat tersebut) walaupun seluruh ahli di langit dan di bumi bersatu untuk menahan daripada dirinya menerima manfaat, maka mereka tidak akan mampu berbuat yang sedemikian itu dan tidak ada jalan untuk meghalang perbuatan tersebut (menahan manfaat)"
RUMUSAN
Berdasarkan kepada fakta-fakta Syarak di atas, dapat di rumuskan bahawa ;
1. Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu ghaib yang berkaitan dengan baik dan buruk, manfaat dan mudharat seseorang hanya diketahui oleh Allah SWT yang bersifat maha mengetahui.
2. Akal manusia adalah terbatas dan tidak mampu untuk memikirkan sesuatu perkara yang ghaib dan bukan di bawah penguasaaan ilmu manusia.
3. Seseorang yang mendakwa bahawa ia mampu memiliki sifat-sifat ketuhanan seperti mengetahui sesuatu perkara baik atau buruk sebelum berlaku maka ia termasuk di dalam kategori mensyirikkan Allah SWT.
4. Email atau SMS yang dikirimkan berbentuk arahan agar disampaikan pada beberapa orang agar beroleh manfaat dan sekiranya tidak disampaikan akan beroleh malapetaka atau bencara adalah merupakan perkara yang jelas bertentangan dan menyalahi hukum syarak. Perkara seperti ini tidak boleh dipercayai kerana segala urusan yang berkaitan dengan perkara ghaib adalah hanya hak milik Allah SWT.
5. Seseorang yang mempercayai dan yakin dengan isi kandungan e-mail dan SMS tersebut serta menurut apa yang telah diarahkan di dalam pesanan tersebut semata-mata dengan niat ingin memperoleh manfaat dan menjauhkan dirinya dari mudharat maka dikhuatiri aqidahnya akan tergelincir dari landasan Islam sekiranya dilakukan dalam keadaan sedar dan di atas pilihan sendiri serta mengetahui akan akibatnya. Hal ini adalah kerana ia lebih mempercayai dan meyakini perkara yang disampaikan melalui pesanan E-mail atau SMS tersebut daripada beriman dengan Qadha dan Qadar Allah SWT.
إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت وما توفيقي إلا بالله
“ Aku tidak mempunyai tujuan lain melainkan melakukan islah (kebaikan) sedaya upayaku dan aku tidak mengharapkan kejayaanku melainkan dengan taufiq dari Allah S.W.T”
والله تعالى أعلم